KISAH 1 : NABI ADAM DAN ANAK-ANAKNYA
Nabi Adam ialah manusia pertama yang diciptakan oleh Allah. Dia dicipta daripada tanah liat. Kemudian, Allah menciptakan pasangannya, iaitu Hawa daripada tulang rusuk Nabi Adam. Tinggallah Nabi Adam dan Hawa di dalam Syurga. Namun, disebabkan hasutan Iblis, mereka berdua memakan sejenis buah yang di larang oleh Allah. Sebagai hukumannya, Allah mencampakkan kedua-duanya ke bumi.
Nabi Adam mempunyai empat orang anak. Sepasang anak kembarnya bernama Qabil dan Iqlima dan sepasang lagi bernama Habil dan Labuda. Nabi Adam mengajar anak-anak bekerja. Qabil menjadi petani, manakala Habil menjadi penternak. Mereka juga diajar supaya patuh kepada perintah Allah. Qabil seorang yang pemarah, manakala Habil seorang yang lemah lembut.
Nabi Adam mengajar mereka membuat pengorbanan kepada Allah. Pengorbanan Habil diterima oleh Allah kerana dia mengorbankan kambingnya yang paling sihat. Sementara pengorbanan Qabil ditolak kerana dia telah mendengar hasutan iblis lalu membawa buah-buahan yang sudah busuk. Qabil berasa iri hati terhadap Habil. Lebih-lebih lagi setelah adiknya, Iqlima dikahwinkan dengan Habil.
Disebabkan hasutan iblis, Qabil membuat keputusan membunuh adiknya, Habil. Dia memukul kepala Habil dengan kayu. Habil jatuh lalu meninggal dunia. Qabil berasa sedih dan takut disebabkan perbuatannya. Qabil menggali lubang lalu menanam mayat adiknya. Qabil tahu yang dia akan menerima hukuman di atas perbuatannya. Dia memohon ampun kepada Allah.