PETUA 1 : UDANG SENTIASA SEGAR
Caranya adalah dengan membersihkan udang terlebih dahulu. Sejatkan airnya sehingga kering. Selepas itu, gaulkan udang dengan sedikit gula dan simpan di dalam bekas yang kedap udara. Udang akan segar biarpun disimpan selama dua hari.
PETUA 2 : JAGUNG REBUS LEBIH ENAK
Jika inginkan jagung rebus lebih enak, masukkan sedikit gula ke dalam air rebusan. Tutup tudung periuk dan biarkan ia mendidih. Elakkan memasukkan garam kerana ia menjadikan isi jagung lebih keras.
PETUA 3 : CILI KISAR LEBIH HALUS
Cili kering yang dikisar kadang kala lambat hancur dan tidak halus. Bagi mengatasinya, potong cili kering dan rendam ke dalam air panas selama lima minit. Masukkan ke dalam pengisar dan campurkan sedikit minyak masak bersama air. Kemudian, kisar seperti biasa. Simpan ke dalam peti sejuk supaya tahan lama.
PETUA 4 : SPAGETI TIDAK MELEKAT
Setiap kali merebus spageti, ia akan melekat antara satu sama lain. Bagi mengatasinya, tuangkan sedikit minyak masak ketika merebus spageti. Agar lebih berperisa pula, masukkan garam. Cara ini, bukan sahaja spageti tidak melekat malah kelihatan lebih menarik.